Monday, March 7, 2011

Adakah nilai kita lebih dari RM15.00 atau jauh lebih murah?

Ada tiga tin 100Plus dihasilkan dari satu kilang yang sama. Mereka diletakkan di tiga bakul yang berbeza.

Bila sudah sampai masanya, ketiga-tiga tin 100Plus dinaikkan ke dalam lori yang sama dan dihantar ke destinasi masing-masing mengikut pesanan.

Tin yang pertama diturunkan di minimarket biasa dan dipamerkan di rak bersama tin 100Plus yang lain dan diletak harga RM1.50.

Tin yang kedua diturunkan di sebuah pasaraya besar ternama dan di masukkan ke dalam peti sejuk dan diletakkan harga RM2.00.

Tin yang ketiga dihantar ke sebuah hotel bertaraf lima bintang yang sangat mewah.Tin 100Plus ini ditempatkan di dalam rak atau dalam peti sejuk.

Tin ini cuma akan dikeluarkan apabila ada pesanan dari pelanggan.

Dan jika ada pelanggan yang memesan 100Plus,air dari tin ini dimasukkan ke dalam gelas kristal dan dicampurkan dengan ketul-ketulan ais. Ia disediakan dengan cermat dan berhati-hati dan disajikan kepada pelanggan dengan sopan.

Harganya ialah RM15.00

Persoalannya sekarang ialah mengapa air tin 100Plus ini memiliki harga yang berbeza sedangkan mereka dihasilkan dari kilang yang sama dan dihantar dengan lori yang sama malah ketiga-tiganya mempunyai rasa yang sama?

Persekitaran Mencerminkan Harga Anda!

Apabila anda berada di persekitaran yang boleh mengeluarkan terbaik dari diri anda,maka anda akan jadi cemerlang.

Tapi jika anda berada di persekitaran yang meng’kecil’kan diri anda, maka anda akan jadi ‘kecil’.

Orang yang sama,bakat yang sama,kemampuan yang sama + persekitaran yang berbeza = NILAI YANG BERBEZA.

Bagaimana dengan diri kita selama ini? Di mana kita berada? Tepuk dada tanya iman.

Apa pun apa yang paling utama ialah rezeki adalah ketentuan Qada dan Qadar Allah Taala, oleh itu berusahalah menjadi yang terbaik disamping pasrah dan memohon kepada Allah Taala.

Dan perbezaan tinggi nilai kita di sisiNYA sebenarnya ialah taqwa kita.

Wallahualam.



Suntingan sumber Link

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi memberi komen ya! Semoga ceria selalu!