Walaupun banyak khilaf berkenaan tarikh sebenar kelahiran manusia agung ini, namun semua khilaf itu mengakui kelahiran Muhammad Bin Abdullah. Belum pernah lagi saya mendengar khilaf yang menyatakan Muhammad tidak pernah dilahirkan seperti mana yang berlaku pada agama-agama lain yang meragui kelahiran sesetengah nabi. Sebaliknya kita umat Islam perakui dan yakin tanpa ragu kewujudan cinta pada baginda walau kita tidak pernah melihat baginda.
Setiap kali sambutan Maulidur-rasul tiba, terasa hiba dan sedih tatkala melakukan muhasabah amalan seharian. Tidak ramai dikalangan kita yang dapat istiqamah dalam mengamalkan dan memperjuangkan sunnah. Jauh panggang dari api untuk diri ini meniru semangat para sahabat seperti Abu Bakar dan Umar yang perlakuan dan amalan seharian mereka hampir 100% mirip cara hidup nabi.
Istiqamah pada sugi.
Dalam meneroka amalan diri, saya menjadi kagum apabila teringat beberapa sahabat saya yang sangat istiqamah mengamalkan amalan nabi dalam kehidupan moden dan dunia korporat mereka. Salah seorang darinya adalah Saudara Muhammad Firwan (Mantan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM).
Gayanya biasa-biasa sahaja, namun sekali berbicara, terpana minda mendengar ideanya. Karismanya membuatkan kita tidak menyangka bahawa disebalik poketnya sebenarnya terselit satu kayu sugi yang menjadi kebiasaan beliau. Sebolehnya beliau akan bawa kayu sugi itu kemana sahaja beliau pergi.
Setiap kali sebelum berwudhuk, beliau akan bersugi. Amalan ini sangat ditekankan nabi. Jika bukan kerana takut menyusahkan umatnya, pasti nabi akan mewajibkan kita semua bersugi sebelum solat. Khasiat kayu sugi bukan hanya untuk mulut dan gigi sahaja sebenarnya, ia bahkan pernah digunakan oleh sahabat dalam peperangan. Benarlah kata-kata yang sering disebut oleh sahabat Tabligh saya, didalam sunnah ada kejayaan.
Istiqamah pada masjid.
Semasa memegang tampuk kepimpinan Sekretariat Kerohanian dan Islamisasi Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM dahulu, ada beberapa ‘freshie’ (sub-comm) saya yang saya lihat sangat istiqamah ke masjid. Setiap kali mendengar azan, mereka akan minta diri sebentar walau sedang bermesyuarat, berprogram dan bekerja sekalipun. (Kebiasaannya sekiranya dalam mesyuarat, kami pasti akan berhenti, rehat, tangguh atau mempercepatkan mesyuarat apabila masuk waktu solat untuk member ruang pada solat jemaah). Saya fikir mereka hendak ke tandas, bila ditanya pada sahabat yang lain, rupanya mereka ke masjid.
Saya fikir mungkin kebetulan ofis dekat dengan masjid, mereka memilih masjid, rupanya mereka memang pemuda yang hati mereka terpaut pada masjid walaupun ada surau di hostel mereka. Sehingga ke hari ini, selepas dua tahun saya turun dari jawatan, kadang kala saya masih terserempak mereka setiap kali lepas waktu azan. Sedang berjalan, menuju ke masjid. “Bahwa Islam adalah Sunnah dan Sunnah adalah Islam dan tidak akan tegak salah satunya kecuali dengan yang lain. Maka termasuk dari Sunnah adalah melazimi (senantiasa bersama dengan) Al Jama’ah… dan seterusnya …”
“Ya Allah, berilah diri ini kekuatan untuk istiqamah dalam melakukan amalan kebaikan. Kami cinta Allah, kami sayang Rasul. Jadikanlah kami umat yang sentiasa berselawat ke atas nabi. Sollu-alaika ya-rasulallah.”
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi memberi komen ya! Semoga ceria selalu!