Wednesday, December 19, 2012

Amalan Spiritual Yang Unggul : Tafakur.


Subhanallah. Tafakur, muhasabah, merenungi diri sendiri ialah satu amalan spiritual yang sangat efektif.

Saya selalu menganjurkan peserta program untuk cuba sekurang-kurangnya (sebagai latihan) duduk bersendirian atas sejadah sebelum masuk waktu subuh. Fikiran dikosongkan dari masalah dan yang ada hanya hamba dan pencipta. Sudah tentu ia lebih hebat jika disulami dengan meneliti terjemahan Al-Quran dan solat sunat.

Duduk bersendirian ialah amalan dan pengalaman luar biasa yang sangat positif. Islam dan para nabi sudah menunjuknya dalam sirah. Bahkan mereka yang bukan Islam turut meniru amalan ini.

Blaise Pascal, seorang sarjana matematik dan ahli falsafah keturunan Perancis berkata, "Hampir kesemua masalah manusia timbul akibat daripada gagal mengamalkan duduk bersendirian di dalam sebuah bilik bagi tempoh tertentu"

Dikatakan manusia mula menjadi hebat apabila mereka meluangkan masa duduk bersendirian, merenungi isi naluri dan suara hati mereka.

Sepanjang tempoh menyendiri itu, fikiran kita akan menjadi jelas, tenteram dan tenang. Kita berasa seolah-olah kita dan alam sejagat menjadi satu. Bahagia dan aman. Pada detik tertentu, ilham dan pemahaman akan mula mengalir ke dalam fikiran ketika itu.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun.” (Riwayat ad-Dailani)

Imam Syafi’i menegaskan, “Milikilah kepandaian berbicara dengan banyak berdiam, dan milikilah kepandaian dalam mengambil keputusan dengan berfikir.” (Mau’idhatul Mu’minin)

*sunnahituluarbiasahebat*

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi memberi komen ya! Semoga ceria selalu!