Thursday, December 13, 2012

Kentang Telur Kopi

Seperti seorang kanak-kanak kecil, berselang dengan tangisan, Mia mengadu mengenai tekanan hidupnya kepada Pak Jiman.

“Saya dah ‘fedup’ pak! Banyak sangat masalah dan ujian yang menimpa saya. Terlalu banyak perkara-perkara yang begitu sukar untuk saya hadapi. Saya tidak tahu bagaimana lagi untuk dibuat. Saya mahu berputus asa sahaja dan lari dari semua masalah ni. Saya sudah bosan bergelut. Belum sempat selesai satu masalah, masalah lain pula timbul.”

Ayahnya, Pak Jiman, yang merupakan seorang tukang masak, nampak tenang mendengar. Seperti seekor itik yang sedang berenang, tenang di muka, kalang kabut di kaki, kepalanya selirat mencari jalan menenangkan anaknya. Pak Jiman terus membawa Mia ke dapur. (Eh? Nak bancuh nescafe macam dalam iklan tu ke?)

Dia mengisi tiga periuk dengan air dan meletakkannya di atas api dapur. Beberapa minit kemudian, ketiga-tiga air itu mendidih. Dalam satu periuk, dia letakkan sebiji kentang, di periuk ke-dua dia meletakkan telur, dan periuk yang terakhir dia letakkan biji kopi. Dia membiarkan ketiga-tiga bahan direbus, tanpa berkata apa.

Mia pelik dan tertanya-tanya apa yang sedang ayahnya lakukan. (Ayah nak masak bubur lambok ke?).

Dalam kira-kira lima belas minit, api dimatikan. Pak Jiman mengalih kentang, telur dan kopi ke dalam mangkuk. Kemudian diletakkan atas meja makan, di hadapan anak perempuannya.

"Apa yang kamu nampak?"

"Kentang, telur, dan kopi," jawab Mia.

Pak Jiman minta Mia pegang kentang.

“Lembut”

Dia kemudian meminta Mia untuk mengambil telur dan memecahkannya. Selepas dikupas, dia memerhatikan telur itu sudah menjadi telur rebus.

Akhirnya, dia meminta Mia untuk menghirup kopi. Dia tersenyum kerana dia merasai aroma kopi yang kaya. Mengingatkannya pada iklan Kopi Amal.

Mia bertanya, "What’s your point pak?"

“Mia sayang, ketiga-tiga bahan tadi telah diletakkan dengan masalah dan keadaan yang sama, tetapi mereka hasilkan reaksi yang berbeza.”

Mia terangguk-angguk mendengar.

“Kentang kuat dan keras. Tetapi selepas diletakkan dalam air mendidih, ia menjadi lembut dan menjadi lembik. Telur sifatnya rapuh. Cecair dalamnya cuma dilapisi dengan kulit yang nipis. Tetapi selepas diletak dalam air mendidih, cecair dalamnya menjadi keras. Bagaimanapun, biji kopi berbeza, ia unik. Selepas ia berada dalam air mendidih, ia telah mengubah air.”

"Mia rasa Mia yang mana satu?", dia bertanya kepada anak perempuannya.

----------------------------------------------------------------------------

Apabila kesusahan mengetuk pintu anda, bagaimana anda bertindak balas? Adakah anda kentang, telur atau biji kopi? You choose!

- Zaim Zin (One Heart)

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi memberi komen ya! Semoga ceria selalu!