Thursday, February 17, 2011

Ayah pada Jumaat.

Usai sahaja bersalaman dangan para jemaah selepas solat Jumaat sebentar tadi, tangan terus menyeluk poket seluar dan mengeluarkan not RM1 untuk dimasukkan ke dalam tabung Jumaat yang diletakkan di pintu keluar masjid.

Memang sudah menjadi kebiasaan bagi diri ini untuk menyediakan duit untuk dibawa setiap kali solat Jumaat walau hanya 20 sen. Itu contoh kesan didikan dari ayah.

Sambil menunggang motosikal balik dari masjid sebentar tadi, tiba-tiba terkenang memori zaman sekolah dulu. Setiap kali ayah selesai solat sunat ba'diah Jumaat, saya akan berlari ke arah ayah untuk bersalaman. Tiap kali itu juga tangan ayah tidak lupa menyelitkan not RM1 atau RM2 ke tangan ini utk dimasukkan ke dalam tabung masjid.





Wednesday, February 16, 2011

Cinta wireless pada nabi merentasi zaman: Tidak nampak bukan bermakna tiada.


Walaupun banyak khilaf berkenaan tarikh sebenar kelahiran manusia agung ini, namun semua khilaf itu mengakui kelahiran Muhammad Bin Abdullah. Belum pernah lagi saya mendengar khilaf yang menyatakan Muhammad tidak pernah dilahirkan seperti mana yang berlaku pada agama-agama lain yang meragui kelahiran sesetengah nabi. Sebaliknya kita umat Islam perakui dan yakin tanpa ragu kewujudan cinta pada baginda walau kita tidak pernah melihat baginda.

Setiap kali sambutan Maulidur-rasul tiba, terasa hiba dan sedih tatkala melakukan muhasabah amalan seharian. Tidak ramai dikalangan kita yang dapat istiqamah dalam mengamalkan dan memperjuangkan sunnah. Jauh panggang dari api untuk diri ini meniru semangat para sahabat seperti Abu Bakar dan Umar yang perlakuan dan amalan seharian mereka hampir 100% mirip cara hidup nabi.

Istiqamah pada sugi.

Dalam meneroka amalan diri, saya menjadi kagum apabila teringat beberapa sahabat saya yang sangat istiqamah mengamalkan amalan nabi dalam kehidupan moden dan dunia korporat mereka. Salah seorang darinya adalah Saudara Muhammad Firwan (Mantan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM).

Gayanya biasa-biasa sahaja, namun sekali berbicara, terpana minda mendengar ideanya. Karismanya membuatkan kita tidak menyangka bahawa disebalik poketnya sebenarnya terselit satu kayu sugi yang menjadi kebiasaan beliau. Sebolehnya beliau akan bawa kayu sugi itu kemana sahaja beliau pergi.

Setiap kali sebelum berwudhuk, beliau akan bersugi. Amalan ini sangat ditekankan nabi. Jika bukan kerana takut menyusahkan umatnya, pasti nabi akan mewajibkan kita semua bersugi sebelum solat. Khasiat kayu sugi bukan hanya untuk mulut dan gigi sahaja sebenarnya, ia bahkan pernah digunakan oleh sahabat dalam peperangan. Benarlah kata-kata yang sering disebut oleh sahabat Tabligh saya, didalam sunnah ada kejayaan.


Istiqamah pada masjid.

Semasa memegang tampuk kepimpinan Sekretariat Kerohanian dan Islamisasi Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM dahulu, ada beberapa ‘freshie’ (sub-comm) saya yang saya lihat sangat istiqamah ke masjid. Setiap kali mendengar azan, mereka akan minta diri sebentar walau sedang bermesyuarat, berprogram dan bekerja sekalipun. (Kebiasaannya sekiranya dalam mesyuarat, kami pasti akan berhenti, rehat, tangguh atau mempercepatkan mesyuarat apabila masuk waktu solat untuk member ruang pada solat jemaah). Saya fikir mereka hendak ke tandas, bila ditanya pada sahabat yang lain, rupanya mereka ke masjid.

Saya fikir mungkin kebetulan ofis dekat dengan masjid, mereka memilih masjid, rupanya mereka memang pemuda yang hati mereka terpaut pada masjid walaupun ada surau di hostel mereka. Sehingga ke hari ini, selepas dua tahun saya turun dari jawatan, kadang kala saya masih terserempak mereka setiap kali lepas waktu azan. Sedang berjalan, menuju ke masjid.

“Bahwa Islam adalah Sunnah dan Sunnah adalah Islam dan tidak akan tegak salah satunya kecuali dengan yang lain. Maka termasuk dari Sunnah adalah melazimi (senantiasa bersama dengan) Al Jama’ah… dan seterusnya …”

“Ya Allah, berilah diri ini kekuatan untuk istiqamah dalam melakukan amalan kebaikan. Kami cinta Allah, kami sayang Rasul. Jadikanlah kami umat yang sentiasa berselawat ke atas nabi. Sollu-alaika ya-rasulallah.”




Saturday, February 5, 2011

Doa Pengasih




Dalam hadis riwayat Muslim, Abu Hurairah r.a telah memohon Nabi s.a.w agar berdoa kepada Allah supaya diberikan hidayah kepada ibunya agar memeluk Islam. Berkat doa Nabi yang juga menunjukkan mukjizat Baginda, ibu kepada Abu Hurairah telah memeluk islam akhirnya. Beliau kemudiannya meminta Nabi s.a.w berdoa kepada Allah agar dia dan ibunya dicintai oleh sekalian orang-orang beriman. Nabi telah mendoakan untuk mereka dengan doa di atas dengan sedikit penambahan - "wa ummahu" (dan ibu Abu Hurairah), selepas kalimah "abdaka hadza". Hasil doa Nabi, setiap orang beriman yang lahir akan merasa cinta apabila mendengar tentang Abu Hurairah.

Untuk Pendo'a Lelaki:


أَللَّهُمَّ حَبِّبْ عَبْدَكَ هَذَا اِلَى عِبَادِكَ الْمُؤمِنِينَ وَحَبِّبْ اِلَى الْمُؤمِنِين


Allahumma habbib 'abdaka haza ila 'ibadikal mukminin wahabbib ilal mukminin.

"Ya Allah, jadikanlah hambaMU ini dicintai pada hati orang yang beriman, dan jadikanlah ia menyintai orang yang beriman"

Untuk Pendo'a Wanita:

أَللَّهُمَّ حَبِّبْ أَمَتَكَ هَذِهِ اِلَى عِبَادِكَ الْمُؤمِنِينَ وَحَبِّبْ اِلَى الْمُؤمِنِين

Allahumma habbib amataka hadzihi ila 'ibadikal mukminin wahabbib ilal mukminin.

"Ya Allah, jadikanlah hambaMU ini dicintai pada hati orang yang beriman, dan jadikanlah ia menyintai orang yang beriman".


Selain doa di atas, elok sangat jika diamalkan juga doa ini ketika menilik di cermin:


أَللَّهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِى فَحَسِّنْ خُلُقِى وَاجْعَلْنِى مَحْبُوبًا فِى قَلْبِ........../ قُلُوبِ النَّاسِ بِبَرَكَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّه

Allahummakama hassanTa khalqi fahassin khuluqi waj'alni mahbuban fi qalbi.........../ qulubinnaasi bibarakati Laa ilaaha illaLlaahu Muhammadur RasuuluLLaah.

Ya Allah, sebagaimana Tuan Hamba cantikkan rupa hamba maka cantikkanlah juga akhlak hamba, serta jadikanlah hamba ini dikasihi pada hati............... / hati² manusia, dengan berkat kalimah La ilaha illa Llah Muhammad ur RasuluLlah.

* Tempat yang berdot³ tu boh la nama si dia dehh! kik³~

....Dan yang penting, betulkan niat serta ikhlaskan berdoa....dan, jangan boh nama ambo kat dot³ tu dehh! senyumm~


Sumber ehsan dari: Perinduketelusan II





Tuesday, February 1, 2011

Kamu adalah apa yang kamu makan.



Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :

Yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

::Setiap makanan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak hendaklah makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang syubhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

::Rezeki yang halal bukan
sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sihat dan akhirnya mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat.



Monday, January 31, 2011

Perlukah kita menjadi sempurna untuk bahagia?

:: Setiap manusia pasti mempunyai impian dan harapan untuk mendapat pasangan yg membahagiakan. Bila ditanya kebahagiaan yang bagaimana yang mereka mahu, setiap orang akan memberikan jawapan subjektif yg berbeza.

:: Retoriknya, semua ingin pasangan yang baik, memahami, pelindung, sopan, sesuai, bijak, penyayang dan mempunyai seribu satu macam sifat mahmudah lain. Pendek kata mereka mendambakan pasangan yang sempurna. Saya juga mendambakannya. Namun kesempurnaan yang macam mana sebenarnya yang selalu kita maksudkan?

:: Adakah sempurna itu juga diukur pada pasangan yang kaya dan berjawatan, pasangan yang cantik dan kacak, atau yang bernama dan sebagainya.

:: Hakikatnya, berapa ramai pasangan yang kelihatannya macam sempurna diawal hubungan, namun terlibat dengan skandal, cerai berai, gaduh, dipukul, dan akhirnya menyesal dengan keputusan yang pernah dibuat ketika memilih pasangan mereka sebagai teman hidup.

:: Maka, jelaslah bahawa keluarga yang bahagia bukan dibentuk dari pasangan yang sempurna, tapi ia terbentuk bila dua pasangan yang tidak sempurna bertemu memenuhi kekurangan masing-masing untuk mencapai kesempurnaan.


Sunday, December 26, 2010

Mencari solusi



“Ayah, saya nak tanya sikit boleh?”

Si ayah yang sedang asyik memandu mencuri menoleh ke kiri, memandang anaknya. Kemudian pandangan si ayah diteruskan ke hadapan. Kedua-dua tangannya bergerak-gerak menggenggam stereng kereta. Panduannya cukup cermat dan berhati-hati.

“Umar nak tanya apa? Tanya sajalah, macam tak biasa pula dengan ayah.” Senyuman terukir manis di bibir. Lemah-lembut, gaya seorang ayah yang mithali.

Si anak membuang pandangannya ke luar, memerhatikan papan-papan iklan yang besar didirikan di tepi jalan raya.

“Iklan-iklan kat tepi jalan raya ni, macam tak sesuai kan ayah?”

“Tak sesuai, maksud Umar?”

“Umar tengok iklan-iklan tu ada gambar wanita mendedahkan aurat. Tiap-tiap produk kebanyakannya akan menonjolkan gambar pergaulan bebas dan eksploitasi tubuh wanita.”

Si ayah hanya diam mengangguk-angguk. Membiarkan anaknya terus berbicara dengan buah fikirannya yang semakin matang dirasakannya. Dia menyedari yang anaknya itu sudah banyak berubah. Semakin matang berfikir, seiring dengan usianya yang semakin meningkat dewasa.

“Hari ini kita risau dengan masalah sosial yang semakin menjadi-jadi. Zina kemudian buang anak. Tapi bukankah iklan-iklan sebegitu yang syaitan gunakan untuk mencucuk mata dan hati manusia?” Si anak terus dengan kata-katanya yang bernas, penuh bersemangat.

“Benar Umar. Memang zina tu akan bermula daripada pandangan mata. Pandangan inilah yang akan turun mengalir ke hati. Memang sukar menjaga pandangan, kerana apabila ada yang mendedahkan, waktu itulah syaitan datang mengapi-apikan keadaan.”

“Kalau macam tu, biarlah semua manusia menutup aurat dengan sempurna, lebihan lagi wanita. Benarkah ayah?”

Si ayah diam seketika. Stereng kereta diputar perlahan-lahan, mengikut arah pergerakan jam. Kereta bertukar arah, mengambil selekoh kanan menuju ke destinasi tujuan. Selepas itu, dia meneruskan kata-kata kepada anaknya.

“Ayah rasa sukar, tapi tak mustahil. Umar pun tahu kan, agama Islam sangat praktikal. Walau kita ada dalam zaman apa pun. Bila yang wanita dah menutup aurat dengan sempurna, maka yang lelaki tundukkan pandangannya. Bukankah itu dah menutup pintu zina? Kemenangan akan berpihak kepada sesiapa yang mengikuti suruhan-Nya.”

“Betul tu ayah.” Si anak diam. Dalam hatinya terdetik, ini baru iklan di tepi-tepi jalan. Belum lagi di media massa lain. Memang pintu-pintu zina perlu segera ditutup, dikunci menggunakan mangga yang cukup kuat dan tahan lasak. Allah SWT dah beri amaran, ‘jangan kamu menghampiri zina!’

Si anak mendengus panjang. Sesekali si ayah hanya memandang anaknya yang duduk di sebelah. Diam buat beberapa ketika. Dia tahu dalam diam itu anaknya sedang berdebat di dalam hati. Mencari kemenangan atau solusi barangkali.



Sumber rujukan daripada majalah Solusi isu 23.

Sunday, April 11, 2010

Kasih Tanpa Batas Seorang Ibu:: Kisah benar yang diceritakan semula.

12 Mei 2009 Wen Chuan, salah satu daerah yang paling parah terkena gempa. Sukarelawan yang bertugas saat itu menemukan pemandangan yang memilukan.

"Lihat itu, ada seorang wanita di sana"

Dari balik runtuhan tampak jenazah seorang wanita, dan ada sesuatu di bawahnya, seorang bayi. Ibu itu tampak berlutut dengan sikap sempurnanya kepada Tuhan memohon dengan sisa-sisa tenaganya yang terakhir untuk diberi kekuatan melindungi bayinya..

Tubuhnya tampak seperti berdoa dengan sangat khusuk. Sang anak tidak terluka sama sekali Di bawah selimut bayi itu, para sukarelawan menemukan talifon bimbit dengan tertaip di'skrin'nya : "Anakku tersayang, bila kau hidup, ingatlah ini, Mama akan selalu mencintaimu"

Sang bayi kehilangan ibunya. Tapi dengan seluruh hidupnya, dia akan ingat bagaimana cinta seorang ibu adalah cinta terhebat di dunia.

Semoga kisah ini menginspirasi kita: "Bagaimana seharusnya kita kepada Ibu kita."

Berikut ini cerita dalam bentuk sketsa kartun yang diterbitkan di surat khabar di China serta foto bayi yang selamat berkat "Kasih Tanpa Batas Seorang Ibu".
Untuk melihat foto lebih jelas, sila klik gambar.





Saturday, April 10, 2010

Nak jadi pasangan hebat?


Perkahwinan yang hebat bukan bermakna kedua-dua pasangan perlu sempurna. Tapi ia menjadi hebat bilamana pasangan yang tak sempurna belajar untuk saling menghargai perbezaan.


http://khazazin.blogspot.com/

Thursday, April 8, 2010

La takrobu-zina...



Khalwat dibenarkan dalam Islam. Bukan berkhalwat dengan sesama manusia, tetapi berkhalwat bersama Tuhan yang Esa, yang maha kasih kepada kekasih kita, Muhammad Sallallahualaihiwasallam...